BEIJING: Seorang wanita di barat daya China bertindak membuang wang tunai berjumlah lebih 16,000 yuan (RM10,000) di lintasan pejalan kaki yang sibuk, mengakibatkan kesesakan lalu lintas. Akhbar tempatan memetik polis sebagai berkata, tindakan itu disebabkan 'angin' wanita berkenaan tidak baik ketika itu. Chongqing Morning Post melaporkan sejumlah wang tunai dengan kebanyakannya wang kertas 100 yuan dibuang di jalan di Chongqing tetapi ramai penjalan kaki menyerbu kawasan itu dan melihat keadaan yang berlaku tanpa segera mengambilnya. Polis segera mengambil wang kertas itu yang berjumlah 16,369 yuan (RM10,206). Wanita itu kemudiannya ditemui polis dan duit dipulangkan semua. Dia bagaimanapun menjelaskan bahawa tindakan tersebut disebabkan anginnya yang kurang baik. Rakaman tindakan wanita itu mencetuskan kekecohan sebaik sahaja ia dimuat naik secara dalam talian. Seorang pengguna Weibo menjadikannya sebagai bahan jenaka dengan menulis: "Saya benar-benar mahu ke sana bila angin anda kurang baik." Seorang lagi menulis: "Angin saya tidak baik selepas membaca berita ini. Saya langsung tidak mempunyai 16,000 yuan dalam simpanan saya." – South China Morning Post