BERLIN: Menteri-menteri luar dari 20 negara kuasa dunia (G20) gagal mencapai persetujuan untuk meluluskan dasar perdagangan bebas dan menggugurkan komitmen anti-perlindungan selepas mendapat tentangan hebat daripada Amerika Syarikat (AS). Menteri telibat dan ketua bank pusat dari negara G20 mengakhiri perbincangan di pekan Baden Baden, Jerman pada Sabtu tanpa sebarang kejayaan besar tetapi hanya membangkitkan keperluan untuk mengukuhkan sumbangan perdagangan terhadap ekonomi. "Keputusan ini bukan yang terbaik daripada pertemuan tersebut," kata seorang wakil G20 yang memetik kenyataan ketua bank pusat Jerman, Jens Weidmann. Jerman memiliki perdagangan bernilai AS$65 bilion (RM288 bilion) dengan AS. Keputusan pertemuan itu juga memecah tradisi blok tersebut dengan menolak dasar perlindungan dan meluluskan perdagangan bebas, merupakan kemenangan buat Presiden AS, Donald Trump dan agenda antiglobalisasi yang diusahakan beliau. Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin sebelum ini berkata, pentadbiran Trump tidak berminat untuk terlibat dalam 'perang' perdagangan tetapi mahu hubungan perdagangan dikaji semula supaya lebih adil kepada AS. Dalam pada itu, ketua-ketua bank pusat G20 mengulangi komitmen mereka untuk mengekang persaingan nilai mata wang, perjanjian utama yang dibangkitkan AS berulang kali selepas beberapa rakan dagangnya menggunakan nilai mata wang untuk mengambil kesempatan dalam urusan perniagaan.