NEW DELHI: Sudah lebih 10 tahun pemimpin Iraq, Saddam Hussein dihukum bunuh selepas digulingkan Amerika Syarikat (AS), tetapi namanya masih tetap hidup, terutamanya bagi seorang pemuda India. Saddam Hussain, pelajar lepasan sebuah universiti teknologi maritim tempatan, bagaimanapun tidak pernah menyalahkan datuknya yang memberi nama mirip dengan diktator Iraq itu ketika dia lahir 25 tahun lalu. Namun setelah 40 kali permohonan kerjanya ditolak, dia menyimpulkan banyak majikan enggan mengambil dia disebabkan namanya Saddam Hussain, sedikit berbeza daripada nama pemimpin Iraq tersebut, Saddam Hussein. Justeru dia terpaksa meminta pihak mahkamah agar namanya diubah menjadi Sajid Hussain, tetapi masalah birokrasi melambatkan proses perubahan nama itu menyebabkan sehingga kini dia belum mendapatkan sebarang kerja. Dua tahun setelah tamat daripada Universiti Nurul Islam di negeri Tamil Nadu, pemuda berasal dari Jamshedpur ini mulai berasa tertekan apatah lagi keputusan peperiksaannya ketika di pusat pengajian tinggi itu adalah baik. “Orang takut mengambil saya sebagai pekerja,” kata Saddam kepada akhbar tempatan Hindustan Times seperti dipetik oleh portal Mynewshub. Dia mendakwa banyak syarikat bimbang konon masalah akan muncul jika mereka berurusan dengan imigresen asing. Peliknya, Saddam tidak pernah menghadapi kesukaran dengan namanya untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan, pasport, dan pelbagai urusan lain tetapi kini masalah lain pula timbul ekoran nama baharunya itu. Ini kerana dia menghadapi masalah tidak dapat membuktikan nama Sajid miliknya memang lulusan universiti dinyatakan kecuali dia terpaksa menukar kesemua nama lama dalam sijil akademik dan dokumen rasmi pemerintah. Perbicaraan mahkamah bakal diadakan lagi pada 5 Mei depan untuk meminta pihak berkuasa berkaitan dapat menggantikan semua nama lamanya dari zaman sekolah rendah lagi, menengah sehingga kepada ijazah universiti. Sajid alias Saddam jelas bukan satu-satunya yang “menderita” akibat memiliki nama mirip itu. Kes lain pernah dialami seorang wartawan di Ramadi, wilayah Anbar, Iraq apabila nama bapanya kebetulan ialah Saddam Hussein. Ada pula kisah tentang Saddam lain yang lebih lucu kerana ditangkap anggota militan Syiah Iraq dan memintanya berlutut sementara sepucuk pistol dihunus di belakang kepalanya sebelum dia dibebaskan akibat salah faham nama. Dalam pada itu, seorang budak etnik Kurdish di ibu kota Baghdad, juga bernama Saddam Hussein dilaporkan sering menjadi mangsa ejekan kawan-kawannya waima ketika bermain bola sepak.