PHNOM PENH: Seorang lelaki di Vietnam memiliki hobi yang pelik apabila menyimpan kukunya selama 35 tahun dan tidak pernah langsung memotong anggota badan itu sepanjang tempoh tersebut. Malah lebih luar biasa lagi, Luu Cong Huyen, 58, yang berasal dari bandar Yen Giao di wilayah Nam Dinh sanggup tidak mandi dan tidur berasingan dengan isterinya bagi mengelak kukunya patah. Huyen memberitahu, dia mula menjaga kuku tangannya sebagai hobi dan kini dia tidak memotong anggota berkenaan selama 35 tahun. “Orang lain mungkin memiliki hobi membela burung, menanam pokok atau mengumpul kereta lama tetapi saya suka membela kuku panjang. "Membela kuku amat sukar berbanding menjadi ibu bapa. Saya perlu berhati-hati setiap kali bergerak bagi menjaga kuku tersebut," katanya seperti dilaporkan portal Oddity Central. Menurutnya, kukunya yang paling panjang berukuran 55 sentimeter. Walaupun kelihatan keras tetapi ia mudah patah terutamanya jika basah akibat terkena air. Disebabkan itu, dia sanggup tidak menyentuh air dan amat jarang membersihkan diri. Sekiranya hujan, dia akan membalut kedua-dua tangannya menggunakan beg plastik bagi mengelakkan air terkena pada kukunya. Mujur hobinya itu mendapat sokongan daripada isterinya sendiri, Nguyen Thi Tuan yang sanggup membantu suaminya mandi atau makan kerana Huyen tidak boleh berbuat demikian secara berseorangan. Selain itu, Nguyen juga akan membantu suaminya memakai baju bagi mengelakkan kuku tersebut patah akibat tersangkut pada kain. Malah tugasnya sebagai tukang cat juga menyukarkan Huyen untuk memegang berus selain terpaksa berhati-hati ketika melakukan tugasnya. "Saya pernah hampir mati akibat kemalangan disebabkan mahu menyimpan kuku," katanya menceritakan kesukaran untuk membawa motor dengan berkuku panjang. Dia memegang rekod memiliki kuku terpanjang di Vietnam memandangkan rekod dunia dipegang oleh Shridhar Chillal dari India yang memiliki kuku sepanjang 909.6 sentimeter secara keseluruhan dengan kuku paling panjang berukuran 186.6 sentimeter.