NEW DELHI: Seorang kanak-kanak perempuan di India dianggap sebagai 'Tarzan Kerdil' apabila ditemukan hidup bersama sekumpulan manusia di utara negara itu. Kanak-kanak yang berusia lapan tahun itu, tidak boleh bercakap atau berjalan seperti manusia, sebaliknya bergerak seperti seekor monyet dengan menggunakan keempat-empat anggota kaki dan tangannya. Menurut laporan Mail Online, kanak-kanak terbabit ditemukan di Kawasan Pemuiharaan Hidupan Liar Kataniaghat yang terletak berdekatan sempadan Nepal, bersama-sama sekumpulan monyet kira-kira dua bulan lalu. Pihak berkuasa India masih mencari identiti budak perempuan itu termasuk tempat asalnya dan tempoh dia bersama kumpulan mamalia berkenaan. Budak tersebut ditemukan oleh sekumpulan pemotong kayu sebelum seorang anggota polis, Suresh Yadav membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Menurut pegawai perubatan yang merawatnya, D.K. Singh, budak itu berkelakuan seperti haiwan apabila bergerak menggunakan kaki dan tangan selain memakan di atas lantai. Ujarnya, keadaan kanak-kanak itu semakin pulih apabila dia mampu berjalan secara normal dan makan menggunakan tangan. "Dia masih belum mampu bercakap, tetapi memahami pertuturan orang lain," katanya.