suria

Korea Utara Ikrar Tindak Balas Terhadap AS

SEOUL: Korea Utara berikrar untuk bertindak balas terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) menghantar aset strategik perangnya ke Semenanjung Korea yang pada anggapan Korea Utara ia satu tindakan pencerobohan terhadap Pyongyang, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Amaran itu dinyatakan Korea Utara selepas AS menghantar unit penyerang tentera laut AS Carl Vinson.

Kementerian Luar Korea Utara memberi amaran negara itu bersedia bertindak bagi mempertahankan diri dengan kelengkapan senjata terkuat terhadap tindakan provokasi Washington.

"Kami akan memastikan AS bertanggungjawab akibat daripada tindakannya yang disifatkan keterlaluan," kata jurucakap kementerian menurut agensi berita pusat Korea Utara (KCNA).

Ketegangan di semenanjung memuncak ketika khabar angin bahawa Korea Utara akan menjalankan ujian nuklear keenam atau melancarkan roket jarak jauh sempena sambutan ulang tahun pada April ini.

Penasihat Keselamatan Negara AS H.R. McMaster memberitahu Fox News, Presiden Donald Trump mengarahkannya bersiap-sedia untuk berdepan sebarang ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara ke atas Washington dan sekutunya. 

Sementara itu, Tentera Rakyat Korea Utara (KPA) mengecam tindakan AS yang dilihat "pilih kasih" terhadap Korea Selatan.

Korea Utara merujuk kepada tindakan Korea Selatan melancarkan ujian peluru berpandu balistik jarak sederhana yang mampu mencapai jarak 800 kilometer. -Bernama

Korea Utara, Amerika Syarikat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain