SEOUL: Korea Utara cuba untuk melancarkan peluru berpandu dekat Sinpo di pantai timur negara itu pada Ahad tetapi dipercayai misi berkenaan gagal, kata tentera Korea Selatan. Cubaan melancarkan peluru berpandu tersebut dibuat sehari selepas Korea Utara mengadakan perarakan tentera di ibu negara sempena ulang tahun pemimpin agung negara itu. "Korea Utara cuba untuk melancarkan peluru berpandu yang tidak dikenali dari wilayah Sinpo pagi ini tetapi dipercayai gagal," kata Pejabat Ketua Turus Bersama di Korea Selatan dalam satu kenyataan. Bagaimanapun tiada butiran lanjut berhubung perkara itu, dan pejabat tersebut memberitahu ia menganalisis pelancaran peluru berpandu berkenaan. Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik dari rantau yang sama awal bulan ini menjelang mesyuarat sidang kemuncak antara pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan China, sekutu utamanya, berhubung program senjata Korea Utara. Ketegangan memuncak berikutan spekulasi mengenai Korea Utara akan melakukan ujian nuklear keenam atau ujian peluru berpandu balistik sempena ulang tahun pada 15 April yang disebut sebagai Hari Matahari. Rumah Putih berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump 'memberi amaran' kepada Korea Utara manakala kemungkinan tentera AS bertindak terhadap Pyongyang mendapat perhatian susulan serangan AS terhadap Syria pada 7 April lalu. AS sedia melancarkan serangan awal ke atas Korea Utara sekiranya Pyongyang terus berdegil mengadakan ujian nuklear. Sebaliknya, Korea Utara memberi amaran sedia menyerang AS menggunakan senjata nuklear sekiranya provokasi terus dilakukan. - Reuters