suria

BBC Dakwa Korea Utara Pamer Peluru Berpandu Palsu

MUNCUNG peluru berpandu (bulatan merah) yang dibawa berarak pada 15 April lalu kelihatan pelik kerana tidak selari dengan kerangka utama senjata itu. - Sumber BBC

PYONGYANG: Korea Utara baru sahaja selesai mengadakan perarakan tentera secara besar-besaran dengan mempamerkan aset tentera termasuk peluru berpandu jenis baharu sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-105 pengasas negara itu, Kim Il-sung pada Sabtu.

Namun di sebalik sambutan itu, timbul spekulasi bahawa pemimpin negara tersebut, Kim Jong-un mempamerkan senjata peluru berpandu palsu yang dipercayai diperbuat daripada kayu dan diwarnakan seolah-olah seperti senjata yang berbahaya.

Satu rakaman yang disiarkan stesen penyiaran BBC, menunjukkan sebuah daripada roket yang dibawa berarak pada sambutan itu memiliki bentuk yang pelik kerana muncung senjata tersebut kelihatan tidak selari dengan kerangka utama peluru berpandu berkenaan.

Malah rakaman itu menjadi gurauan pengguna Twitter yang menyifatkan tindakan Pyongyang cuba mengaburi mata masyarakat dunia dengan mempamerkan peluru berpandu palsu.

Korea Utara mendakwa, senjata tersebut memiliki keupayaan untuk mengenai sasaran beribu-ribu kilometer dan mampu dilengkapi dengan peledak nuklear.

Pada perarakan itu, Korea Utara tidak melancarkan sebarang peluru berpandu dan hanya mempamerkan senjata tersebut dengan jumlah yang banyak dan pelbagai jenis.

Pakar perang percaya bahawa senjata yang dipamerkan pada Sabtu turut melibatkan peluru berpandu jarak pendek yang mungkin digunakan untuk pertahanan kawasan perairan.

Korea Utara

Artikel Lain