TOKYO: Amerika Syarikat (AS) akan membalas sebarang serangan Korea Utara dengan tindakan yang lebih "efektif dan menyeluruh", demikian amaran yang disuarakan oleh Naib Presiden Mike Pence. Beliau menyatakan amaran itu ketika berucap di atas dek kapal pengangkut pesawat USS Ronald Reagan yang berlabuh di Yosuka, Jepun pada Rabu. Kehadiran Pence ke rantau tersebut bagi memberi jaminan bahawa sekutu AS tidak bimbang dengan program peluru berpandu Korea Utara. Bagaimanapun Pence yang mengadakan lawatan ke Asia bermula di Korea Utara pada Ahad lalu, berkata, ancaman daripada Korea Utara semakin meningkat. "Korea Utara merupakan ancaman paling bahaya dan utama terhadap keselamatan serta keamanan di rantau Asia-Pasifik. "Kita akan membalas serangan (Korea Utara) sama ada (mereka) menggunakan senjata konvensional atau nuklear dengan serangan yang lebih efektif dan menyeluruh," katanya. Pence mengeluarkan komen tersebut selepas seorang pegawai kanan kerajaan Pyongyang menyatakan perancangan Korea Utara untuk mengadakan ujian senjata pada setiap minggu selain mengancam melancarkan perang jika AS menceroboh negara itu.