SAINTIS Australia telah melakukan analisis ke atas serpihan baharu mendapati pesawat MH370 mungkin berada di dalam zon lebih kecil 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi. "Penemuan kami lebih meyakinkan dengan keputusan baharu itu. Kami dapati serpihan sebenar flaperon itu ditemui terapung kira-kira 20 darjah ke bahagian kiri dan lebih cepat daripada replikanya. "Penemuan flaperon di La Reunion pada Julai 2015, lebih masuk akal," jelas Dr David Griffin di Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO). Laporan CSIRO yang memaparkan data dan analisis ujian sebenar flaperon Boeing 777 mendapati, ia sepadan dengan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion, di luar pantai timur Afrika pada 2015, berbanding ujian menggunakan model kayu serta keluli sebelum ini. Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang mengetuai misi pencarian asal dalam satu kenyataan memberitahu, laporan tersebut telah mengesahkan lokasi MH370 mungkin berada dalam kawasan carian baharu. Zon carian sebelum ini meliputi kawasan 120,000 kilometer persegi di luar barat Australia yang mana sebahagian besarnya ditakrifkan daripada petunjuk diperoleh dari isyarat 'ping' satelit dan kiraan jumlah baki bahan api pesawat tersebut. Pada Januari lalu, Australia memaklumkan operasi pencarian tidak akan dimulakan semula tanpa sebarang bukti baharu yang boleh dipercayai. - Agensi