PARIS: Pusingan pertama Pilihan Raya Presiden Perancis dicemari keganasan apabila kumpulan antifasis bertempur dengan pihak polis susulan kegagalan calon parti utama melayakkan diri ke pusingan kedua buat kali pertama dalam sejarah moden negara itu. Anggota polis antirusuhan terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan beratus-ratus penunjuk perasaan di Place de La Bastille di timur Paris. Tunjuk perasaan itu melibatkan ratusan pelajar daripada kumpulan berfahaman anarkis dan antifasis bagi membantah kemenangan Marine Le Pen, calon Parti Barisan Nasional berfahaman kanan yang mahu mengamalkan dasar antiimmigrasi dan anti Kesatuan Eropah. Marine akan berdepan cabaran calon berfahaman tengah dari Parti En Marche!, Emmanuel Macron yang juga tidak disukai oleh kumpulan penunjuk perasaan tersebut. Jalan menuju ke Bastille Opera terpaksa ditutup menggunakan van polis dan ramai pengguna Twitter menyifatkan situasi di kawasan terbabit sebagai huru-hara. Malah ada penunjuk perasaan bertindak membakar kenderaan yang diletakkan di tepi jalan selain bertempur dengan anggota keselamatan. Lima calon bertanding dalam pilihan raya tersebut dengan memperlihatkan saingan sengit antara Macron dan Marine mengenapikan tiga calon utama iaitu Francois Fillon daripada Parti Republikan, Benoit Hamon (Parti Sosialis) dan Jean-Luc Melenchon (Parti La France Insoumise) yang gagal meraih sekurang-kurang 20 peratus undian untuk mara ke pusingan kedua. Secara keseluruhan, seramai 11 calon bertanding bagi merebut jawatan tertinggi Perancis itu tetapi hanya Macron dan Marine layak ke pusingan kedua pada 7 Mei depan selepas masing-masing meraih 23 peratus dan 21.6 peratus undian.