suria

Delta Mohon Maaf Sekeluarga Dipaksa Keluar Pesawat

Paparan skrin dari video yang menunjukkan Schear bercakap dengan seorang anggota polis sebelum dia dipaksa keluar dari pesawat.

DELTA Air Lines membuat permohonan maaf pada Khamis selepas insiden satu pasangan bersama dua anak mereka dipaksa keluar dari pesawat akibat lebihan tempahan penerbangan bagi memberi tempat duduk kepada penumpang yang sedang menunggu.

Delta Air Lines Inc dalam satu kenyataan memberitahu, permohonan maaf itu ke atas pengalaman yang malang itu, dibuat sehari selepas Brian dan Britanny Schear menyiarkan satu video secara dalam talian, yang menunjukkan mereka diberitahu supaya keluar dari pesawat atau ditahan.

"Matlamat Delta adalah selalu bekerjasama dengan pelanggan dalam cubaan untuk mencari penyelesaian berhubung isu pengembaraan mereka. 

"Perkara itu tidak berlaku di dalam kes ini dan kami memohon maaf," menurut syarikat penerbangan itu.

Ia berkata, pasangan itu telah dihubungi bagi memberi bayaran balik selain pampasan tambahan.

Insiden pesawat Delta berlaku hampir sebulan selepas United Continental Holdings Inc membangkitkan kemarahan orang ramai selepas seorang penumpang diheret keluar dari pesawat disebabkan lebihan tempahan penerbangan.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu telah mencapai penyelesaian bersama penumpang terbabit bulan lalu. - Reuters

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan