BEIJING: Hari paling bahagia menjadi mimpi paling ngeri buat sepasang kekasih yang mahu melangsungkan perkahwinan di China apabila mengetahui majlis itu sebenarnya dihadiri oleh 'tetamu palsu'. Pasangan yang hanya dikenali sebagai Wang dan Xiaoli sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 30 April lalu di sebuah hotel di Xian, wilayah Shaanxi. Pada mulanya majlis itu berjalan dengan lancar sehingga keluarga pengantin wanita menyedari meja yang ditempah untuk tetamu kepada pengantin lelaki kosong. Wang memberitahu mereka bahawa 'rakan-rakannya' dalam perjalanan tetapi alasannya itu menimbulkan keraguan kepada keluarga pengantin perempuan termasuk pasangannya sendiri. Apabila mereka bersembang dengan beberapa tetamu yang kononnya rakan Wang, mereka menyedari lelaki itu melakukan penipuan. Tambahan lagi, keluarga Wang juga tidak menghadiri majlis tersebut, membuatkan Xiaoli menghubungi pihak polis bagi melaporkan tentang penipuan pasangannya. Sebaik sahaja polis tiba, semua tetamu pengantin lelaki disoal dan mereka mengakui bahawa Wang mengupah mereka untuk menjadi tetamu pada majlis perkahwinan itu. WANG ditahan oleh pihak polis atas kesalahan menipu dan cuba melanggar undang-undang perkahwinan di China. - Oddity Central Mereka juga mendedahkan, Wang menawarkan upah sebanyak 80 yuan (RM48) bagi setiap tetamu dengan menyamar sebagai rakan dan saudarannya. Malah mereka juga menunjukkan bukti perbualan dengan Wang menerusi aplikasi sembang, WeChat. "Dia begitu bagi terhadap saya, selalu membayar bil dan memenuhi kehendak saya. "Kini bila difikirkan semula, mungkin ibu bapanya yang ditemui sebelum ini juga diupah olehnya," kata Xiaoli. Siasatan lanjut polis mendapati, Wang dipercayai terlibat dalam kes penipuan melibatkan wang sebanyak 1.1 juta yuan (RM694,430) daripada keluarga Xiaoli sejak beberapa tahun lalu. Wang meminjam duit sebanyak 400,000 yuan (RM252,520) dengan alasan mahu terlibat dalam pelaburan pada 2015 dan awal tahun ini, dia meminta 700,000 yuan (RM441,910) sebagai wang hantaran. Ekoran penahanan lelaki itu, keluarga Xiaoli akhirnya menyedari Wang hanya mahu mengahwini anak mereka atas alasan duit. Selain itu, siasatan polis juga mendapati Wang baru berusia 20 tahun, membuatkan dia terlalu awal untuk melangsungkan perkahwinan kerana undang-undang di China tidak membenarkannya. Susulan berita penahanan Wang tersebar di dalam berita, keluarga sebenar lelaki itu akhirnya muncul dan sedia membayar semula yang dipinjam kepada keluarga Xiaoli.