JAKARTA: Orang utan albino yang jarang ditemui telah diangkat menjadi duta spesis yang semakin terancam itu hasil usaha sebuah organisasi perlindungan haiwan. Orang utan betina yang berbulu putih dan bermata biru itu diselamatkan di daerah Kapuas Hulu selepas dikurung penduduk kampung dalam sangkar. Yayasan Orang utan Borneo (BOSF) yang menjaga spesies terancam berkenaan memberitahu, ini adalah kali pertama dalam tempoh 25 tahun badan itu menerima orang utan albino. “Dia kini menjadi duta kepada spesiesnya dan kami meminta orang ramai membantu untuk menamakannya,” kata BOSF. Kata yayasan itu, orang utan berkenaan yang berusia lima tahun masih lemah dan dijangkiti parasit serta takutkan manusia. Kenyataan itu menyebut, orang utan berkenaan kini ditempatkan di pusat pemulihan BOSF yang memelihara hampir 500 orang utan. - AFP