KANAK-kanak boleh menjadi orang paling jujur dalam beberapa situasi dan mereka juga sebenarnya benci perkauman! Apabila mereka melihat seseorang bersikap rasis, mereka boleh menjadi seorang yang lebih lantang bersuara berbanding orang dewasa. Misalnya Jorge, seorang budak lelaki berusia 10 tahun. Seseorang telah berkongsi satu nota di Twitter menyatakan bahawa ibunya telah merampas nota tersebut daripada Jorge yang meluahkan kekecewaan kepada seorang murid perempuan yang diminatinya, Alina. Dalam nota tersebut, Jorge berkata dia amat kecewa apabila Alina mengejek murid perempuan lain di dalam kelas hanya kerana perbezaan warna kulit. Dia sering menghantar surat kepada Alina sebelum ini, tetapi selepas mendengar Alina memperlekehkan warna kulit pelajar lain, nota tersebut menjadi yang terakhir untuk Alina. "Hi Alina, Jorge di sini, orang yang menghantar surat-surat itu," dia memulakan kata-kata. "Saya pernah sukakan kamu tetapi saya dengar kamu telah membuli seorang budak perempuan yang berbeza warna kulit. Itu tidak menyenangkan. Siapa yang mahu bersama kamu? Saya benar-benar menyesal dengan surat-surat itu. Kejam." Sudah tentu terdapat keraguan yang timbul mengenai kesahihan surat itu, tetapi sama ada ia benar atau tidak, ia memberi banyak pengajaran dalam kehidupan manusia.