BERGELAR seorang ratu cantik bukan mudah, masa terpaksa dilaburkan bertahun-tahun untuk menguasai teknik solekan yang terbaik. Walaupun pertandingan ratu cantik sinonim dengan sesi pakaian bikini yang seksi, kebanyakan ratu cantik tetap berasa gemuruh untuk menggayakannya. Namun, seorang wanita memecah tradisi apabila berjaya mendapatkan hak untuk menutup badannya pada sesi pakaian renang sempena pertandingan Ratu Cantik Great Britain (GB). Muna Jama, 27, dari Forest Gate, akan menggayakan kaftan semasa pertandingan tersebut selepas berjaya mendesak pihak penganjur membenarkannya untuk tidak tampil seksi. Muna tidak berasa selesa memperagakan badannya dengan memakai bikini di hadapan penonton biarpun dia tahu sesi tersebut adalah satu kemestian dalam pertandingan itu. Pakaian renang yang mendedahkan sebahagian besar tubuh adalah ditentang oleh Islam, menyedari hakikat itu, Muna mengambil keputusan untuk tarik diri. Tetapi selepas berjaya menempuh persaingan sengit di peringkat akhir pertandingan tersebut, Muna mengubah fikirannya dan mengambil keputusan untuk menyertainya semula dan mula berkempen untuk mendapatkan hak memakai kaftan. Kata Muna, dia tidak akan memakai bikini untuk ke pantai atau mengejar mata (markah) demi memenangi pertandingan kecantikan. - Metro