LOS ANGELES: Scooter Braun, pengurus Ariana Grande mengeluarkan kenyataan terhadap serangan di Manchester Arena, lokasi konsert penyanyi pop Amerika Syarikat itu berlangsung. "Malam ini, hati kami luluh. Tiada kata-kata yang dapat diluahkan mengenai kesedihan kami terhadap keluarga dan mangsa yang cedera dalam serangan tidak masuk akal itu," katanya. Menurut laporan di Britain, seramai 19 dilaporkan maut manakala 59 lagi cedera yang disifatkan sebagai serangan pengganas. Ambulans dilihat dikejarkan ke lokasi kejadian dan polis menasihati orang ramai supaya mengelak melalui kawasan tersebut. Rakaman video yang dimuat naik menerusi Twitter menunjukkan penonton konsert menjerit dan lari bertempiaran. Ada di antara mereka berlumuran darah.