LOS ANGELES: Penyanyi pop Amerika Syarikat (AS), Ariana Grande membatalkan tujuh konsert, masing-masing dua di London dan lima di Eropah. Keputusan itu dibuat susulan serangan bom nekad yang mengakibatkan 22 nyawa melayang dan mencederakan 64 yang lain. Selain itu, tayangan perdana filem 'Wonder Women' yang dijadualkan berlangsung minggu depan juga dibatalkan. Selain itu, pihak berkuasa juga meningkatkan kawalan di festival muzik hujung minggu di bandar raya Hull, yang menyaksikan persembahan penyanyi AS, Katy Perry. Grande, 23, yang meluahkan rasa sedihnya menerusi Twitter berhubung kejadian itu, sepatutnya membuat persembahan pada Khamis dan Jumaat minggu depan di Arena 02 London sebagai sebahagian konsert 'Dangerous Woman'. "Kedua-dua konsert itu dibatalkan termasuk juga di Belgium, Poland, Jerman dan Switzerland, " kata syarikat rakaman artis berkenaan. Sementara itu di HOLLYWOOD, studio Warner Bros. berkata, pihaknya membatalkan majlis permaidani merah di London sempena tayangan perdana filem 'Wonder Woman' berikutan kejadian serangan bom nekad itu. Selain itu, kumpulan rock AS, Blondie juga membatalkan persembahan di London sehari selepas kejadian itu, manakala kumpulan pop Britain, Take That menangguh persembahan Manchester Arena dan Liverpool minggu ini.- Reuters