NEW DELHI: Lima tahun dahulu, Lalita Ben Bansi merupakan wanita yang memiliki wajah jelita sebelum serangan asid berlaku ke atas dirinya sehingga menyebabkan hampir 90 peratus mukanya berparut. Sejak kejadian itu, Lalita sudah melupakan impian setiap wanita untuk bergelar isteri kerana yakin bahawa tiada lelaki mahu mengahwininya disebabkan peristiwa hitam tersebut. Ternyata jangkaannya meleset kerana Lalita akhirnya bertemu jodoh dengan Ravi Shankar apabila melangsungkan perkahwinan pada Khamis. Siapa sangka hubungan mereka terjalin gara-gara tersalah dial nombor telefon sedangkan mereka berdua tinggal berjauhan dengan dipisahkan lebih 1,000 kilometer. "Saya tidak sangka panggilan itu mengubah hidup saya. "Saya sangat gembira. Saya tidak pernah terfikir akan berkahwin. Suami saya sangat baik," kata Lalita menurut portal Metro.uk. Wanita berusia 26 tahun itu menderita luka melecur tersebut selepas saudaranya mencurah asid ketika mereka bertengkar pada 2012. Lalita terselamat dalam kejadian itu tetapi mengalami luka teruk dan perlu menjalani 17 kali pembedahan.