DUBAI: Sempena ketibaan bulan Ramadan, pihak polis di Ajman, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk saman trafik bermula pada Sabtu. Komander Polis Ajman, Mejar Jeneral Sheikh Sultan bin Abdallah Al Nuaimi berkata, harga saman akan dikurangkan separuh bermula 27 Mei sehingga akhir Ramadan iaitu 24 Jun depan. Jelasnya, tawaran diskaun itu meliputi saman yang dilakukan sebelum 21 Mei tahun ini dan melibatkan denda yang dikeluarkan di Ajman. Bagaimanapun tawaran itu dikecualikan bagi kesalahan melanggar lampur merah dan memandu secara melulu. Selain itu, kenderaan yang disaman kerana melanggar undang-undang selepas pemandu memasang peralatan tambahan dan mengubaisuai enjin sehingga menyebabkan bunyi bising juga dikecualikan daripada diskaun tersebut. "Pembayaran saman perlu dilakukan menerusi aplikasi pintar yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri atau Polis Ajman untuk mendapatkan nilai diskaun. "Keputusan untuk mengurangkan harga sama adalah menggalakkan orang ramai membayar denda selain merupakan inisiatif polis bagi memastikan orang ramai gembira dengan harga diskaun tersebut," katanya.