TUJUH orang dikhuatiri maut selepas tiga lelaki bersenjatakan pisau berukuran 12 inci dilaporkan menikam orang awam selepas melanggar sehingga 20 pejalan kaki dengan sebuah van putih di London Bridge. Mereka yang digambarkan sebagai 'berasal dari Mediterranean', dilaporkan melompat keluar dari van dan mula 'menikam orang ramai secara rawak' di sepanjang Borough High Street di pusat bandar London kira-kira pukul 10 malam. Polis telah bertindak menutup London Bridge selepas kejadian itu, menurut seorang wartawan BBC yang berada di jambatan ketika kejadian. Seorang saksi berkata, sekurang-kurangnya seorang lelaki meninggalkan van tersebut dan berlari ke arah pasar berhampiran, sambil memegang sebilah pisau panjang. Pihak polis mengesahkan bahawa mereka berdepan dengan satu insiden besar di jambatan itu dan telah menghantar pegawai bersenjata ke Borough Market selepas menerima satu laporan kejadian tikam di sana. Polis berkata adalah terlalu awal untuk mencadangkan motif serangan. Polis London berkata mereka juga telah bertindak balas terhadap kejadian ketiga berhampiran Vauxhall, juga selatan Thames, tetapi terletak agak jauh dari London Bridge dan Borough Market. Seorang saksi, Andrew, menyifatkan berlakunya satu kejadian menakutkan di mana sebuah van dipandu laju dan melulu di London Bridge. "Seorang lelaki dengan pisau besar," Andrew memberitahu LBC Radio. Dia berkata sekurang-kurangnya seorang cedera teruk, dengan badannya di atas jalan berlumuran darah. "Saya bersembunyi di sebalik belukar kecil, mungkin 10 saat, mungkin 20 saat," katanya. "Kemudian saya berlari menyelamatkan diri." Andrew berkata dia telah lalu di Borough Market, menjerit kepada orang di dalam bar untuk melarikan diri dari tempat kejadian. Dia berfikir bahawa di situ mungkin terdapat lebih daripada seorang penyerang bersenjatakan pisau, tetapi tidak pasti. Seorang lagi saksi memberitahu Reuters bahawa dia melihat sekurang-kurangnya tiga orang cedera akibat diserang dengan pisau. Menurut BBC, polis sedang mencari sehingga tiga suspek yang mungkin bersenjata.