HONG KONG: Sekumpulan aktivis pada Sabtu memakai kostum ikan yu yang berdarah dan berhimpun di luar sebuah restoran di Hong Kong sebagai bantahan mereka terhadap jualan sup sirip ikan yu yang mengakibatkan pembunuhan haiwan itu. Sirip yu mempunyai pasaran yang besar di bandar itu kerana ia dianggap sebagai hidangan istimewa kebanyakan orang Asia dan biasanya disajikan di restoran mahal. Bantahan pada Sabtu itu melibatkan 30 penunjuk perasaan yang memakai kostum ikan yu dengan sebahagiannya dicat warna merah bagi menunjukkan tanda darah, sambil melaungkan bahawa 'jika pembelian dihentikan, begitu juga pembuhan'. "Membunuh ikan yu bagi mendapatkan siripnya merupakan sesuatu yang kejam yang dilakukan manusia, dan tidak ramai yang tahu bangkai ikan-ikan ini dibuang kembali ke laut," kata seorang aktivis, Meara Johnson, 12. "Bila saya tahu haiwan ini bakal menjadi spesis yang terancam, saya fikir kita perlu melakukan sesuatu," tambah Meara. Menurut Yayasan Hidupan Liar Dunia, lebih 70 juta ikan yu dibunuh setiap tahun dan sebahagian besar dieksport ke Hong Kong dan China. - AFP