suria

Indonesia-Google Selesai Pertikaian Hutang Cukai

JAKARTA: Selepas beberapa bulan berlakunya bertikaian, akhirnya Indonesia mencapai persetujuan dengan pemilik Google, Alphabet Inc berhubung dakwaan gergasi enjin carian internet itu membayar cukai tahunan tidak mencukupi kepada negara berkenaan.

Perkara itu disahkan Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati selepas pertemuan antara kedua pihak pada Selasa.

Seorang pegawai kanan percukaian berkata pada September tahun lalu, Indonesia merancang untuk menyaman Google bagi mendapatkan semula cukai tertunggak selama lima tahun.

Enjin carian internet itu perlu membayar lebih AS$400 juta (RM1.7 bilion) untuk 2015 sahaja jika ia didapati mengelak cukai.

"Kami sudah mencapai persetujuan dengan mereka (Google) berdasarkan 2016. Namun, kami tidak dapat mendedahkan jumlah bayaran yang dipersetujui," kata Sri Mulyani kepada pemberita.

Setakat ini, masih tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua belah pihak masih berbalah mengenai bayaran cukai untuk tahun-tahun sebelumnya.

Indonesia berusaha meningkatkan kutipan cukainya untuk mengurangkan defisit belanjawan dan membiayai program infrastruktur negara itu.

Menurut pegawai percukaian Indonesia, sebahagian besar pendapatan Google di negara itu disalurkan ke ibu pejabat enjin carian internet berkenaan bagi rantau Asia Pasifik di Singapura.

Mereka juga menganggarkan pendapatan keseluruhan industri pengiklanan di Indonesia adalah sekitar AS$830 juta (RM3.5 bilion), manakala Google dan Facebook Inc menyumbang 70 peratus daripada jumlah tersebut.

Google bagaimanapun merujuk kepada kajian bersama oleh syarikat itu dan firma pelaburan Singapura, Temasek bahawa saiz pasaran iklan digital Indonesia untuk tahun 2015 adalah berjumlah AS$300 juta (RM1.2 bilion). – Reuters



Google, Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain