NEW YORK: Cubaan seorang wanita menggunakan kerusi roda untuk menyeludup masuk dadah bernilai AS$470,000 (RM2 juta) ternyata gagal selepas perbuatannya itu dihidu pihak berkuasa di Lapangan Terbang Kennedy di sini, hujung minggu lalu. Suspek yang dinamakan sebagai Yoncela Stanley, seorang rakyat Amerika Syarikat (AS), tiba di negara itu dengan menaiki penerbangan JetBlue dari pulau Carribbean pada Ahad. Sebaik sahaja mendarat, seekor anjing pengesan dadah mengesan sesuatu pada kerusi roda yang digunakan oleh Stanley. Kemudian seorang pegawai kastam menyedari bahagian belakang kusyen kerusi roda tersebut kelihatan mencurigakan. Hasil siasatan lanjut menemukan enam ketulan mampat dadah jenis kokain dan dua beg yang menyimpan dadah sama dengan anggaran berat 12 kilogram. Stanley kemudiannya ditahan dan didakwa di Mahkamah Persekutuan Brooklyn atas tuduhan cuba menyeludup dadah. - MAIL ONLINE