SERAMAI 17 orang disahkan maut dalam satu kebakaran di sebuah pangsapuri setinggi 27 tingkat di London pada awal pagi Rabu. Insiden di bangunan Grenfell Tower di Latimer Road, White City itu menyaksikan ramai mangsa yang terperangkap. Dalam kejadian itu, lebih 600 penghuni cuba menyelamatkan diri dengan kebanyakan mereka menjerit meminta bantuan. Seorang penduduk berkata, dia percaya seseorang telah terjun dari antara tingkat 10 dan 15 untuk menyelamatkan diri. Khidmat Ambulans London memberitahu, 50 mangsa dikejarkan ke lima hospital di sekitar bandar raya itu, manakala seorang penduduk masih lagi terperangkap di tingkat 11 bangunan tersebut. Kebakaran dikatakan bermula dari tingkat dua bangunan sebelum merebak ke bahagiian bumbung dalam masa 15 minit. Pasukan bomba yang terdiri daripada 200 anggota berusaha memadam kebakaran dan mengawal keadaan. - BBC