EVERYOUNG, sebuah syarikat teknologi di Korea Selatan mempunyai syarat yang tegas tetapi unik apabila mengambil pekerja baharu terutamanya membabitkan soal usia. Berbeza dengan kebanyakan syarikat yang mahukan pekerja muda, EverYoung meletakkan syarat berbeza apabila mahukan calon berusia sekurang-kurangnya 55 tahun. Sejak EverYoung diasaskan pada tahun 2013, syarat itu sudah wujud dan telah mempunyai 420 pekerja yang berumur 55 hingga 83 tahun. Budaya bekerja di Korea Selatan yang memaksa pekerja bersara sebelum mereka mencecah usia 60 (usia rasmi persaraan), tetapi pengasas EverYoung, Chung Eunsung, berharap dapat mengubah perkara itu dengan membuktikan warga tua mampu menjadi pekerja yang bagus setanding dengan golongan muda. Pada 2013, beliau mencipta matlamat utama dengan mengambil pekerja yang berumur 55 dan ke atas dan selepas empat tahun syarikatnya masih kekal dengan syarat yang sama. “Korea semakin tua dan fenomena itu semakin cepat berlaku, oleh itu, kami percaya bahawa penglibatan mereka dalam ekonomi akan meningkat dan memberi harapan pada seluruh warga tua,” Chung memberitahu portal Channel News Asia. “Saya yakin dengan mengambil mereka bekerja, kami telah membantu meningkatkan kualiti kehidupan dan kewangan mereka,” katanya. EverYoung merupakan syarikat pemantauan kandungan yang melatih pekerja untuk menggunakan laman internet seperti Naver (Google versi Korea Selatan). Tugas utama mereka adalah menapis maklumat sensitif di Peta Naver, dan memantau kandungan dalam pelbagai laman blog, tetapi, sesetengah dari mereka mempunyai kemahiran dalam bidang IT, dan kadang-kadang mengendalikan kelas-kelas pengekodan untuk kanak-kanak. Ramai yang menganggap warga tua tidak berpengetahuan di dalam teknologi, tetapi Chung Eunsung memberitahu bahawa pekerjanya sangat bersemangat dan ceria, dan sentiasa mahu belajar perkara baharu. Tambahan pula, mereka menunjukkan tumpuan yang tinggi dan tidak cuai seperti pekerja yang lebih muda. “Saya cuba untuk menepati masa dan saya bersedia untuk mempelajari ilmu baru,” kata pekerja EverYoung yang berusia 83 tahun itu. “Saya telah mempelajari pelbagai ilmu IT dan bersemangat untuk datang ke kerja setiap pagi.” - ODDITY CENTRAL “Selepas dua anak perempuan saya membesar, saya rasa saya perlu membuat sesuatu untuk diri dan memahirkan diri saya,” kata An Kyeong-hwa, 59, seorang ahli matematik terlatih. Pekerja-pekerja EverYoung bekerja syif selama empat jam dan mendapat 10 minit rehat setiap 50 minit. Mereka dapat menikmati makanan ringan di pantri syarikat yang sentiasa penuh, berehat di kawasan yang dipenuhi buku dan sofa, serta memantau tekanan darah menggunakan alatan yang diperuntukkan oleh syarikat. Chung Eunsung berkata, mengasaskan EverYoung adalah latihan ‘praktikal dan kukuh’ dalam mencegah diskriminasi umur yang menurutnya, merupakan isu yang besar di Korea Selatan.