SEKURANG-kurangnya 40 maut dalam tiga insiden letupan di Pakistan. Dua letupan disasarkan dekat sebuah pasar yang berlaku selang tiga minit antara satu sama lain, kata pegawai kanan kerajaan, Wazir Khan. Ketika kejadian, orang ramai sedang sibuk membeli-belah makanan untuk iftar. "Apabila orang ramai bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa yang cedera, letupan kedua berlaku. "Kami bimbang, angka kematian akan meningkat," kata Wazir. Satu lagi letupan berlaku pada sebelah pagi di luar pejabat ketua polis di barat daya Quetta, ibu kota wilayah Balochistan. Sekurang-kurangnya 13 maut termasuk tujuh anggota polis. Serangan itu berlaku ketika polis memberhentikan sebuah kereta di pintu pemeriksaan. Penyerang meletupkan kenderaan itu yang dipenuhi bom. Jamaat ur Ahrar, kumpulan serpihan Taliban Pakistan mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan itu dalam satu mesej yang dihantar kepada Reuters oleh jurucakapnya, Asad Mansur. "Serangan kami akan diteruskan sehingga sistem syariah sebenar di laksanakan di Pakistan," kata jurucakap itu.