SHANGHAI: Seorang penumpang yang begitu taksub dengan kepercayaan karut telah menyebabkan penerbangan terpaksa ditangguhkan beberapa jam selepas bertindak melemparkan sembilan syiling ke enjin pesawat. Susulan perbuatannya itu, warga tua berkenaan telah ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong di sini. Tindakannya itu yang dikatakan untuk memastikan perjalanannya selamat sampai ke destinasi mengakibatkan hampir 150 penumpang diarah meninggalkan pesawat yang dalam perjalanan ke Guangzhou di selatan China. Wanita berkenaan telah melemparkan sembilan syiling ke enjin pesawat China Southern Airlines CZ380 ketika berjalan ke arah kapal terbang itu. Lapan syiling itu tidak menepati sasaran, kecuali satu sahaja yang masuk ke enjin pesawat berkenaan, kata polis lapangan terbang itu, sambil menambah penumpuang lain yang melihat gelagat wanita itu telah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa di situ. Wanita berkenaan dalam perjalanan menaiki penerbangan itu bersama suami, anak perempuan dan menantu lelakinya, lapor Beijing Youth Daily. "Seorang penumpang warga tua melemparkan syiling ke enjin pesawat dan menyebabkan penerbangan itu terpaksa ditangguhkan. Penumpang berkenaan telah ditahan polis, kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataannya menerusi akaun Twitter-like Weibo. Dalam usaha untuk memastikan keselamatan penerbangan itu, penyelenggaraan telah dilakukan untuk memeriksa secara terperinci enjin pesawat berkenaan. Kejadian itu menjadi trending menerusi Weibo dan menurut polis, siasatan terhadap penumbang dengan nama keluarganya Qiu mendapati dia melemparkan syiling itu sebagai tanda berdoa untuk keselamatan sepanjang perjalanannya.