JIKA anda seorang penggemar kopi, sudah tentu anda pernah melihat seni kopi yang menunjukkan pelbagai corak yang unik termasuk kartun haiwan. Tapi, barista Lee Kang-bin dari Korea Selatan ini membawa seni kopi ke satu tahap yang lebih tinggi kerana mampu meniru lukisan pelukis terkemuka dunia ke atas permukaan berbuih secawan kopi. Lee, 26, menghasilkan semula lukisan popular Vincent van Gogh 'The Starry Night' dan Edvard Munch 'The Scream' menggunakan krim pekat dan pewarna makanan. Hasil bagi karya yang makan masa selama 15 minit untuk disiapkan itu adalah 10,000 (RM37) secawan kopi sejuk. Bakatnya itu membuatkan Lee sudah ada ribuan pengikut tersendiri di kafe miliknya dan atas talian. Lee menunjukkan cara membuat seni kopi di kafenya di tengah-tengah kota Seoul, Korea Selatan. "Pernah sekali saya lukis The Starry Night dan ia nampak istemewa seperti sebuah lukisan terkenal berada di atas permukaan secawan kopi. "Selepas itu, ramai yang mula menempahnya. Pelanggan biasanya meminta saya melukis karya seni kegemaran mereka," kata Lee. Percaya atau tidak, Lee sebenarnya tidak pernah belajar cara untuk melukis. Dia mula membru kopi ketika berusia 17 tahun semasa menjalani latihan ketenteraan mandatori dan jatuh cinta dengan kebolehan baru itu. Justeru, Lee membeli mesin kopi dan membuka kafe pertamanya untuk rakan tentera di kem berhampiran sempadan Korea Utara. - Reuters