LEBIH 2,000 waris mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 berhimpun di Belanda untuk memperingati ahli keluarga yang terkorban sempena ulang tahun ketiga tragedi tersebut berlaku. MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 menggunakan peluru misil ketika melalui ruang udara zon konflik di Ukraine. Raja Belanda Willem-Alexander dan Permaisuri Maxima pada Isnin mencemar duli untuk bersama-sama dengan pegawai rasmi pelbagai negara pada satu majlis untuk mendedikasikan memorial dalam Taman Vijfhuizen dekat Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam. Menurul laporan Radio Free Europe Radio Liberty, anggota keluarga akan membaca nama 298 penumpang dan kru penerbangan yang terbunuh dalam nahas itu. Dua orang waris mangsa nahas MH17 menanam pokok di memorial dalam Taman Vijfhuizen. Terdapat 17 kerakyatan yang terlibat, kebanyakan mereka adalah Belanda dan sebahagian lain merupakan rakyat Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia. Sebanyak 298 pokok telah ditanam bersama riben hijau yang setiap satu mewakili mangsa yang terkorban dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Penganjur berkata, pokok-pokok itu akan dikelilingi oleh bunga matahari yang akan mekar pada Julai dan "memancarkan sinar keemasan" di tapak tersebut. Penyiasat Belanda menyimpulkan pada 2015 bahawa pesawat tersebut ditembak oleh peluru misil buatan Rusia di wilayah timur Ukraine yang dikuasai oleh puak pemisah Rusia.