suria

Dapat Anak, Hilang Suami

ATIFA Ljajic selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang sihat, tetapi pada hari yang sama, dia ditinggalkan suaminya.

Ljajic, 60, dan suaminya Serif Nokic, 68, dari Serbia telah dikurniakan cahaya mata selepas berusaha lebih dari 20 tahun untuk menimang anak.

Namun hari bahagia seorang ibu tidak berpanjangan apabila suaminya membuat keputusan di luar jangkaan.

Nokic menegaskan bahawa membesarkan anak pada usia yang tua akan membahayakan kesihatannya.

Setelah mencuba pelbagai cara untuk mengandung, Ljajic telah mencuba rawatan terakhir iaitu persenyawaan in vitro (IVF) selama lima kali dan percubaan terakhir, dia berjaya hamil dan melahirkan anak.

Pada mulanyaNokic membantah kandungan itu, namun menurut sahaja apabila melihat isterinya sangat gembira.

Bagaimana pun Nokic mula sedar kesukaran untuk tinggal bersama bayi apabila mendengar tangisan anaknya.

“Saya sudah tua. Saya sakit dan menghidapi diabetis serta mempunyai jantung yang lemah. Sukar untuk saya tidur jika sepanjang malam saya mendengar tangisan bayi. Sekarang Atifa sudah dapat apa yang dia mahu dan dia bahagia".

Nokic juga tidak mahu mendaftar si kecil Alina sebagai anaknya dan Ljajic terpaksa menjaganya seorang diri.

Pasangan itu dipercayai menggunakan sperma yang diderma oleh orang yang tidak dikenali.

Ljajic berkata, reaksi negatif yang mereka hadapi dan tekanan dari keluarga suaminya di Turki telah menyebabkan Nokic meninggalkan mereka.

Ljajic menerima kadar pencen yang sederhana dan perlu membayar pinjaman yang diambil untuk rawatan ketika mengandung.

Namun, dia tetap gembira.

“Saya tahu ini adalah risiko besar kerana usia saya. Tapi, saya gembira kerana satu-satunya harapan saya telah menjadi kenyataan.

“Saya tidak takut untuk menghadapi cabaran kehidupan kerana Tuhan telah memberi saya kekuatan. Saya tidak pernah rasa begitu baik.

“Apapun yang berlaku, Syerif pergi atau tidak, saya tetap akan membesarkan Alina sebaik mungkin. Saya akan hidup demi dia.

“Saya tahu ia sukar, tetapi saya yakin masih ada orang yang baik hati dan sudi membantu saya," jelas Ljajic.

IVF

Artikel Sebelum

Bumi Turki Bergegar

Artikel Berikut

Mati Setiap Kali Tidur

Artikel Lain