SEBUAH drama komedi Korea Selatan mencetuskan kemarahan netizen selepas drama itu didakwa menghina dan mencemarkan imej Islam. Drama Man Who Dies To Live yang disiarkan sejak 19 Julai lalu, mengisahkan tentang Jang Dal-goo, yang menjelajah ke sebuah bandar di Asia Barat dan menjadi kaya, menerima pelbagai gelaran sebelum warganegara dengan nama Saeed Fahd Ali. Watak Dal-goo yang dilakokkan oleh Choi Min-soo, kemudiannya pulang ke Korea untuk bersatu semula dengan anak perempuan dan menantunya. Antara babak yang mencetuskan kemarahan netizen terutamanya penonton Islam, Dal-goo memakai baju jubah dan serban dan dia disambut oleh wanita yang memakai baju renang. Malah satu lagi babak menampilkan pelakon itu meminum air wain ketika sarapan dengan lengkap berpakaian seperti orang Arab. Babak paling kontroversi adalah ketika Dal-goo duduk sambil meletakkan kaki di atas senaskah buku yang dipercayai Al Quran. "Drama itu telah mencacatkan imej Islam dan orang Islam. Ia adalah sampah,’ tulis seorang pengguna Twitter, mayssemgh, yang juga membuat beberapa tulisan mengenai mengapa syarikat penyiaran MBC tidak sepatutnya menyiarkan drama itu. ‘Ia menghina orang Muslim dan memainkan Islam," katanya. Seorang lagi pengguna aplikasi tersebut, Sarw_Dope menulis, "Jangan letak kaki di atas Al Quran. Sila hormati agama Islam dan budaya orang Arab.’' Syarikat MBC kemudian meminta maaf di akaun sosial media rasmi milik mereka dan berkata bahawa semua karakter, nama, dan tempat adalah rekaan semata-mata. "MBC tidak berniat untuk menghina mana-mana agama, budaya dan individu. "Kami meminta maaf sekiranya telah mengguris hati mana-mana pihak kerana drama tersebut," jelas kenyataan itu yang dikeluarkan dalam bahasa Arab, Inggeris dan Korea. MBC juga menyatakan bahawa mereka akan mengambil langkah yang lebih berhati-hati dalam produksi filem. - JAKARTA POST