NEW DELHI: Lebih dari 50 wanita di utara India mendakwa rambut mereka dipotong ketika mereka tidak sedarkan diri, lapor BBC. Seorang daripada mangsa yang dikenali sebagai Sunita Devi, 53, berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas dan langsung tidak disedarinya. Mangsa yang merupakan seorang suri rumah mendakwa diserang pada Jumaat lalu dan mengalami trauma akibat kejadian tersebut. “Saya keseorangan di tingkat bawah rumah ketika menantu perempuan dan cucu berada di tingkat atas semasa serangan berlaku kira-kira pukul 9.30 malam. “Terdapat kilauan cahaya yang terang dan saya sudah tidak sedarkan diri. "Sejam kemudian, saya mendapati rambut saya sudah dipotong,” kata mangsa yang berusia 53 tahun, berasal dari Bhimgarh Kheri di Haryana. Menurut Devi, penyerang itu adalah seorang lelaki tua yang memakai pakaian berwarna cerah. Laporan tentang 'pencuri' rambut mula kedengaran di Rajasthan sejak Julai, kini kejadian yang sama dilaporkan berlaku di Haryana dan Delhi. Sementara itu, jurucakap polis, Gurgaon Ravinder Kumar berkata, kes tersebut masih lagi disiasat. “Ini adalah kes yang aneh. "Kami tidak menjumpai sebarang bukti di tempat kejadian dan ujian rawatan menunjukkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya sambil menambah bahawa tiada sesiapa yang berjaya melihat penyerang itu. Dalam pada itu, Kumar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak polis di daerah lain bagi merungkai kes misteri tersebut. “Hanya mangsa yang melihat atau dapat merasakan kedatangan penyerang. "Kami akan merungkaikan kes-kes ini, tetapi sementara itu, saya nasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sebarang khabar angin berhubung kejadian ini,” maklumnya. - Tribune.com