HEATHER Smith, 34, berkata keluarganya sering dicemuh masyarakat hanya kerana fizikal yang kerdil. Heather berkahwin dengan lelaki kerdil, Paul, 40, dan mempunyai dua anak iaitu Jack, 13, dan Erin, sembilan. Kedua-dua anaknya mewarisi genetik kerdil (pseudoachondroplasia) suaminya. Tinggi Paul adalah 4 kaki, Jack, 3 kaki 7 inci dan Erin, 3 kaki 2 inci. Walaupun tahu anak-anaknya bakal kerdil sama seperti suaminya, dia langsung tidak menyangka keluarganya dari Nottingham itu akan berdepan cemuhan orang awam. Heather dan suaminya pertama kali bertemu di Majorca pada 2002 ketika dia bekerja sebagai pengurus pelancongan dan ketika itu, Paul adalah seorang DJ. Apabila membuat keputusan untuk mempunyai anak, mereka juga tahu bahawa anak mereka nanti akan mewarisi penyakit pseudoachondroplasia. “Pada awalnya, kami tidak begitu risau. Tetapi, saya mula rasa sedih apabila melihat segala pembedahan yang terpaksa mereka jalani,” kata Heather. Dia juga sedih apabila memikirkan anak-anaknya dibuli di sekolah. “Mereka dipanggil ‘bayi’ dan pelajar di sekolah sengaja memegang bola di atas kepala Jack supaya dia tidak boleh mencapainya. Erin juga pernah dipanggil ‘kerdil bodoh’. “Apabila kami keluar bersama, orang awam akan ketawa, menunjuk-nunjuk kepada kami dan mengambil gambar. “Masyarakat memerlukan pengetahuan dan kesedaran yang mendalam supaya semua orang boleh menerima komuniti kerdil seadanya,” kata Heather. Walaupun dikutuk dan dimalukan, keluarga itu tetap mengekalkan sifat positif dan kehidupan yang aktif. Pseudoachondroplasia tidak dapat dikesan sehingga usia mencecah dua tahun. Oleh itu, imbasan kandungan Heather kelihatan normal. Namun, Jack dan Erin mula berjalan dengan aneh dan imbasan-X menunjukkan kedua-duanya mewarisi penyakit genetik suaminya. Ia memberi kesan pada rangka, menyebabkan pembesaran mereka terbantut dan pinggul mereka kaku. Mereka mungkin memerlukan pembedahan penggantian pinggul. Jari dan pergelangan anak-anak mereka juga lemah, oleh itu genggaman tangan mereka turut lemah. Apabila berjalan jauh, mereka memerlukan kerusi roda dan mereka telah menjalani pelbagai pembedahan untuk meluruskan kaki. -dailymailUK