MANILA: Tiga lelaki diculik militan IS di selatan Filipina berjaya melarikan diri selepas muslihat bayaran wang tebusan palsu gagal. Namun nasib mangsa keempat yang melarikan diri ke arah berlainan masih tidak diketahui. Pekerja binaan itu dibawa ke balai polis di Kepulauan Jolo pada Jumaat, empat minggu selepas mereka diculik kumpulan Abu Sayyaf. Kumpulan tersebut menerima sejumlah wang tunai sebagai bayaran wang tebusan pada Khamis. Namun mereka enggan melepaskan kesemua mangsa selepas menyedari wang tebusan tersebut adalah palsu, kata ketua polis daerah, Reuben Sindac. "Ketika penculik sedang menunaikan solat, mangsa mengambil peluang untuk melarikan diri tetapi berlaku adegan kejar-mengejar dan tembakan dilepaskan," katanya. Kumpulan Abu Sayyaf terkenal dengan tindakan akan memenggal kepala mangsa culik jika wang tebusan tidak diterima.