DUA remaja didapati bersalah membunuh seorang lelaki yang maut kerana terperangkap dalam kebakaran keretanya di luar rumah anak-anaknya. Vilson Meshi, 31, maut apabila suar api tentera laut dilempar ke dalam kereta Audi miliknya. Kebakaran itu boleh mencapai 1,200 darjah kepanasan dan asap yang memenuhi keretanya menyebabkan Meshi tidak dapat keluar dari kenderaan itu. Keani Hobbs, 18, dari Basildon dan rakannya yang berusia 16 tahun dari Camberwell, telah disabitkan bersalah membunuh Meshi selepas dibicarakan di Mahkamah Chelmsford. Meshi yang berasal dari Albania telah ke Pitsea, Essex untuk bertemu dua anaknya. Dia tidur di dalam keretanya yang diparkir di luar rumah anaknya, sebelum mayatnya ditemui di tempat duduk belakang keretanya pada awal pagi 26 Februari 2016. Siasatan yang dijalankan menemui suar api yang sudah digunakan berdekatan kereta. Mereka mendapati suar api itu dicuri dua remaja tersebut dari pelabuhan kapal di Pitsea. Polis juga menemui beg dan basikal yang sama seperti yang digunakan oleh orang di rakaman kamera kitar tertutup (CCTV) di kawasan sekeliling kereta mangsa. Alat pendengar suara juga digunakan untuk mengumpul maklumat dari mereka dan data dari telefon bimbit menunjukkan mereka berada di kawasan yang sama. Semasa perbicaraan, kedua-dua tertuduh menyalahkan satu sama lain di atas pembunuhan tersebut. Sementara itu, ibu bapa Meshi iaitu Islam dan Drita Meshi tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku ke atas anak mereka. “Vilson berpindah ke UK pada 2000 dan menjalankan perniagaan yang berjaya dengan mengambil 12 pekerja. “Tetapi tindakan melulu pihak tertentu menyebabkan tiga anak akan membesar tanpa bapa, isteri tanpa suami, adik beradik tanpa abang mereka, ibu bapa tanpa anak dan 12 pekerja kehilangan pekerjaan. “Dia adalah anak dan lelaki yang pemurah serta penyayang, dia sentiasa membantu sesiapa yang memerlukan pertolongan,” kata mereka. Pengebumian Meshi yang dibuat di sebuah bandar kecil di Albania, dihadiri lebih 4,000 orang dengan majoritinya dari Britain. Menurut Ketua Penyiasat Inspektor Stephen Jennings dari Polis Essex, siasatan kes itu rumit dan kedua-dua suspek tidak mengaku melakukan kesalahan. “Kami berpuas hati kerana ada bukti suspek mencuri suar api dan menyebabkan kematian Meshi," katanya. Katanya lagi, selepas mendengar semua bukti, suspek didapati bersalah di atas dakwaan pembunuhan dan mencuri.