suria

Yingluck Lari, Mahkamah Keluar Waran Tangkap

SEPATUTNYA Yingluck Shinawatra yang digulingkan hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan terhadapnya berhubung kes penyalahgunaan kuasa melibatkan skim subsidi beras.

Tetapi, bekas perdana menteri Thailand ini tidak muncul walaupun ribuan penyokong menunggunya sejak awal pagi lagi.

Yingluck dilaporkan telah terbang ke luar negara dan mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

“Beliau sudah tinggalkan Thailand,” kata salah seorang sumber yang juga anggota parti Shinawatra, Puea Thai kepada Reuters.

Seorang lagi sumber yang enggan dikenali mengesahkan Yingluck tidak lagi berada di negara gajah putih itu.

Yingluck boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun jika mahkamah yang bersidang pada Jumaat mendapati dia bersalah.

Semasa prosiding bermula pada 9 pagi, peguam Norrawit Larlaeng yang mewakili Yingluck memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

Norrawit memohon mahkamah menangguhkan prosiding  kepada 27 September depan.

Bagaimanapun, mahkamah menolak alasan itu dan mengeluarkan waran tangkap terhadap Yingluck.

Mahkamah juga merampas wang jaminan 30 juta Baht (RM3.75 juta) yang dibayarnya semasa perbicaraan kesnya bermula.

Ditanya di mana Yingluck berada, Larlaeng berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya atau sama ada bekas perdana menteri itu masih berada di Thailand.



Yingluck

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain