NEW YORK: Kemusnahan yang dialami sekitar bandar Houston akibat dibadai taufan Harvey mendapat perhatian selebriti Hollywood yang tampil menyalurkan sumbangan mencecah jutaan dolar. Antara yang bermurah hati menyumbang adalah aktres Sandra Bullock yang mengisi tabung Palang Merah Amerika AS$1 juta (RM4.27 juta). "Saya gembira dapat memberi sumbangan," kata pelakon yang mempunyai rumah di Austin dan New Orleans itu dalam kenyataan. Sementara itu, Khloe Kardashian berkata, keluarganya menderma AS$500,000 (RM2.1 juta) kepada pertubuhan itu dan Salvation Army. Ia sebagai reaksi kepada cabaran pelawak Kevin Hart, yang menyumbangkan AS$25,000 (RM106,000) dan menamakan selebriti yang digesa mengikut jejaknya. Selain itu, bintang pop, Jennifer Lopez dan teman lelakinya, Alex Rodriguez, masing-masing memberi sumbangan AS$25,000 (RM106,000). Sementara itu, pihak berkuasa berkata 33 dipercayai maut secara langsung atau tidak langsung disebabkan bencana itu. Sekurang-kurangnya 10 orang disahkan terbunuh di beberapa mukim di tenggara Texas dengan 23 lagi kematian ada kaitan dengan Harvey, kata jurucakap pejabat Pemeriksaan Kesihatan Daerah Harris, Tricia Bentley. - AFP