JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) (gambar) mahu isu krisis kemanusiaan Rohingya di Rakhine, Myanmar diselesaikan secara objektif dan bukan sekadar retorik untuk mengecam kerajaan negara berkenaan. Katanya, Indonesia komited membantu krisis kemanusiaan yang sedang berlaku itu dan telah menghantar Menteri Luar Retno Marsudi untuk bertemu dan berbincang dengan pimpinan kerajaan Myanmar. Retno pada Isnin dijadual menemui Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk membahas isu kemanusiaan di Rakhine bagi mendesak Myanmar agar segera memulihkan keamanan di Rakhine. "Saya dan seluruh rakyat Indonesia, kita menyesalkan aksi kekerasan yang terjadi di Rakhine State, Myanmar, perlu aksi nyata bukan hanya pernyatan (kenyataan) kecaman-kecaman dan pemerintah berkomitmen terus untuk membantu krisis kemanusiaan, bersinergi dengan kekuatan masyarakat Indonesia dan juga masyarakat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di sini. Beliau berkata, penganiayaan terhadap etnik Ronghiya harus dihentikan dengan segera dan masyarakat di seluruh dunia harus bersinergi untuk membantu kaum yang sedang dianiyai itu. Jokowi juga berkata selain bertemu dengan kerajaan Myanmar, Retno juga diarah ke Bangladesh untuk berbincang mengenai misi bantuan bagi kaum Rohingya. Media melaporkan puluhan ribu warga Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh sejak seminggu lepas. Pihak berkuasa Myanmar mendakwa mereka sedang melancarkan serangan tentera terhadap pasukan militan yang dikenali sebagai Tentera Penyelamat Arakan Rohingnya (ARSA) di Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung yang mempunyai kira-kira 800,000 penduduk. Sementara itu, polis Indonesia sedang menyiasat kejadian dan telah mengambil keterangan daripada beberapa orang saksi mengenai insiden lontaran bom molotov di Kedutaan Besar Myanmar di sini awal pagi Ahad. Bom itu bagaimanapun berjaya dipadam oleh pengawal keselamatan dan tidak menjejaskan bangunan kedutaan berkenaan serta tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku. Sebelum itu pada Sabtu, ratusan orang menganjurkan demonstrasi di Kedutaan Besar Myanmar untuk membantah tindakan zalim kerajaan negara terbabit terhadap kaum Rohingya. Mereka membawa poster yang tertulis pelbagai bantahan termasuk mengutuk kepimpinan Aung San Suu Kyi yang disifatkan tidak berperikemanusiaan. Demonstrasi itu juga mendesak ASEAN agar mengambil tindakan drastik dengan memecat Myanmar dari menjadi negara anggotanya. Sebuah pertubuhan penganut Budha di Indonesia yang dikenali sebagai Keluarga Buddhayana Indonesia (KBI) turut mengutuk tindakan Myanmar dan menyifatkan perbuatan itu sebagai biadap serta tidak mencerminkan ajaran Budha. Ketua Dewan Pengawas KBI, Sudhamek dipetik oleh media atas talian sebagai berkata tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Myanmar adalah biadab dan pengecut kerana membunuh wanita dan kanak-kanak. - Bernama