LARA Trump telah meluahkan perasaan bahagianya bergelar seorang ibu apabila melahirkan anak pertamanya dengan Eric. Wanita berusia 34 tahun itu berkongsi khabar gembira kelahiran anaknya di Instagram dan memuat naik gambarnya bersama si comel itu di hospital. "Selamat hari jadi, Luke! Kami sangat diberkati dan bangga menjadi ibu bapa kamu," tulisnya. Gambar yang dimuat naik Lara menunjukkan bayinya yang baru lahir sedang mengeliat di bawah selimut hospital yang berwarna merah jambu, putih dan biru. Luke adalah cucu kesembilan bagi Presiden Donald Trump. Seperti Lara, Eric turut melakukan perkara sama dengan memuat naik gambar anak lelakinya itu di Instagram. Bezanya, dia menambah hashtag #LittleLuke sebagai satu-satunya keterangan gambar. Posting tersebut dibuat hanya beberapa jam selepas dia berkongsi berita gembira mengenai kelahiran anaknya di Twitter, mengumumkan bahawa anaknya telah selamat dilahirkan pada pukul 8.50 pagi Selasa.