SEORANG ibu menikam teman lelakinya yang didapati berbogel sambil berbaring di atas anak perempuannya yang berusia 12 tahun sebelum menghubungi polis. Wanita berkenaan, yang belum dikenal pasti identitinya, mengeluarkan pisau di rumahnya di Cleveland dan menikam teman lelakinya, 31, sebanyak lima kali di dada dan sekali di kepala. Ketika menghubungi polis untuk datang ke tempat kejadian, dia memberitahu bahawa teman lelakinya cuba menyentuh anak perempuannya, menyebabkan dia bertindak menikam lelaki terbabit, lapor Cleveland.com. Dalam temu bual dengan polis, wanita tersebut berkata dia sedang menuju ke bilik tidur pada Selasa dan melihat teman lelakinya sedang baring di atas anak perempuannya dalam keadaan bogel. Dalam keadaan marah, dia memberitahu polis bahawa dia telah mengambil pisau yang ada di rumahnya dan menyerang lelaki terbabit. Pasangan itu kemudiannya bergelut, menyebabkan lehernya dijerut dan badannya dihempaskan ke dinding oleh teman lelakinya. Wanita berkenaan dan anak perempuannya mengalami luka di tangan. Kanak-kanak berusia 12 tahun itu memberitahu polis bahawa teman lelakinya ibunya telah merabanya, menanggalkan seluar yang dipakainya dan kemudian menanggalkan pakaiannya sendiri. Dia kemudian memberitahu: "Inilah apa yang akan berlaku di dunia nyata apabila kamu mempunyai teman lelaki," sebelum melakukan serangan seksual terhadapnya, menurut laporan polis. Lelaki itu memberitahu polis bahawa wanita berkenaan menyerangnya kerana cemburu dengan anak perempuannya yang menyimpan perasaan terhadap dirinya. Lelaki itu terselamat dari serangan tersebut dan dibawa ke hospital untuk rawatan. Kes itu masih dalam siasatan dan belum ada sebarang pendakwaan dibuat.