MOGADISHU: Rakyat Somalia berkongsi kegembiraan apabila buat pertama kalinya selepas hampir 27 tahun, pesawat penumpang mendarat di Lapangan Terbang Aden Abdulle Mogadishu pada waktu malam. Ketibaan pesawat Juba Airways yang membawa jemaah haji dari Jeddah itu, tiba pada Sabtu dan sekaligus menandakan pembukaan rasmi untuk penerbangan waktu malam di lapangan terbang berkenaan sejak perang saudara meletus pada 1991. Kerajaan mengumumkan pembukaan perkhidmatan penerbangan malam di lapangan terbang itu pada Julai lepas. Menurut pihak penerbangan awam Somalia, landasan di lapangan terbang berkenaan telah dibaikpulih dan ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan. Sebelum pesawat yang membawa 193 penumpang dan 7 anak kapal itu mendarat, agensi keselamatan Somalia melakukan pemeriksaan keselamatan bagi memastikan pendaratan pesawat berjalan lancar. Kebiasaannya penerbangan ketibaan Somalia perlu membuat transit di Nairobi, Istanbul atau Addis Ababa terlebih dahulu untuk memastikan waktu perjalanan adalah pada siang hari. Ketibaan pesawat berkenaan menerima pelbagai reaksi positif serta pujian banyak pihak yang dimuat naik dalam media sosial antaranya "Selepas 27 tahun penerbangan malam pertama membawa penumpang mendarat di lapangan terbang Aden Abdulle #Somalia. Satu lambang pembangunan dan kami harap lebih banyak lagi selepas ini".