suria

Wanita Saudi Dibenar Memandu Hasil Protes Lebih 25 Tahun

AKTIVIS, Manal al-Sherif yang ditahan pada 2011 selepas protes memandu, menulis di Twitter berikutan pengumuman pemeritah Arab Saudi pada Selasa.

Ternyata beliau meluahkan rasa lega susulan keputusan yang menamatkan tradisi konservatif itu.

"Hari ini, negara terakhir di bumi membenarkan wanita memandu ... kami telah melakukannya," katanya.

Sementara itu, Latifa al-Shaalan, ahli Majlis Shura, sebuah badan penasihat, berkata keputusan itu akan meningkatkan peluang pekerjaan untuk wanita di sektor swasta.

"Ini adalah hari bersejarah dan tiada kata-kata untuk menyatakan perasaan saya dan perasaan ribuan wanita Saudi," katanya di TV Arabiya.

Selama lebih dari 25 tahun, aktivis wanita telah berkempen supaya dibenarkan memandu dan turun ke jalanan menunjukkan bantahan dan menyiarkan video diri mereka memandu di media sosial. Bantahan itu mengakibatkan ada dalam kalangan mereka ditahan.

Laporan Reuters menyebut, Raja Saudi, Raja Salman pada Selasa mengarahkan supaya wanita dibenarkan memandu kereta, selepas sekian lama ia dilihat oleh aktivis hak sebagai lambang penindasan negara itu terhadap wanita.

Negara itu telah dikritik secara meluas kerana menjadi satu-satunya negara di dunia yang mengharamkan wanita daripada memandu.

Walaupun cuba untuk memupuk imej yang lebih moden pada tahun-tahun kebelakangan ini, namun larangan memandu telah lama mencemarkan imej antarabangsa Arab Saudi.

Negara itu mengarahkan pembentukan sebuah badan kementerian untuk memberi nasihat dalam tempoh 30 hari dan kemudian melaksanakan perintah itu pada 24 Jun 2018, demikian menurut agensi berita negara itu, SPA.

Saudi, Raja Salman, Manal

Artikel Sebelum

Langgar Orang Ala 'Drive Thru'...

Artikel Berikut

Artikel Lain