MEXICO: Jumlah kematian akibat gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud yang melanda tengah Mexico bulan lepas, meningkat kepada 361 orang sementara usaha mencari dan menyelamat lapan lagi mangsa hilang masih diteruskan, lapor agensi berita China Xinhua. Menurut Ketua Agensi Perlindungan Awam, Luis Felipe Puente menerusi twitternya, seramai 220 mangsa maut di Bandaraya Mexico yang menyaksikan sebanyak 38 bangunan runtuh di bandar raya itu. Seramai 141 mangsa lagi dilaporkan maut di Morelos, Puebla dan Mexico. Operasi mencari dan menyelamat terus ditingkatkan dan ditumpukan di kawasan Alvaro Obregon Avenue tempat di mana lapan orang dilaporkan hilang, kata Datuk Bandaraya Mexico Miguel Angel Mancera di sidang akhbar pada Ahad. Bagaimanapun, untuk menemui mangsa terselamat selepas 13 hari, sejak gempa melanda pada 19 September adalah tipis. Memandangkan kebanyakan bangunan yang runtuh atau rosak teruk adalah bangunan baharu dua tahun siap pembinaannya, menyebabkan pihak berkuasa menjalankan kira-kira 136 siasatan terhadap pemaju. - BERNAMA