SINGAPURA: Presiden Singapura, Halimah Yacob akan berpindah dari kediamannya sekarang di Yishun. Beliau telah menerima syor yang diberikan Kementerian Dalam Negeri (MHA) republik itu, yang menasihatkan Presiden untuk memikirkan berpindah ke tempat lain.” “Terima kasih di atas keprihatinan anda mengenai kediaman saya. MHA baharu sahaja mengeluarkan kenyataan mengenai cabaran keselamatan yang dihadapi mereka sekiranya saya terus tinggal di kediaman saya sekarang,” kata beliau di dalam catatan di laman Facebooknya pada Isnin. "Justeru, sebanyak mana saya suka untuk terus tinggal di rumah saya sekarang di Yishun, saya telah menerima syor MHA dan akan melakukan persiapan untuk berpindah ke tempat baharu,” kata beliau. MHA pada Isnin berkata, presiden menyatakan beliau ingin terus tinggal di kediamannya sekarang di Yishun, “bergantung kepada pertimbangan keselamatan.” MHA berkata, ia sudah melakukan penilaian terperinci mengenai aturan keselamatan presiden dan memberitahu Halimah bahawa agensi keselamatan berhadapan beberapa cabaran dalam memastikan keselamatan dan perlindungan beliau, jika terus tinggal di kediamannya sekarang. Justeru, MHA menasihatkan presiden supaya memikirkan untuk berpindah ke tempat lain, menurut satu kenyataan di dalam laman sesawangnya. “Ini akan membolehkan agensi-agensi memastikan keselamatan beliau lebih terjamin, “ katanya. MHA berkata, Presiden menerima syornya mengenai keselamatan itu. "Beliau akan melakukan persiapan untuk berpindah ke tempat baharu tidak lama lagi,” katanya. Halimah sebelum ini mengambil keputusan untuk terus tinggal di flat jumbo HDB selepas menjadi Presiden Kelapan Singapura , bulan lepas. - Bernama