suria

Banyak Senjata Ditemui Di Rumah Penyerang Las Vegas

Polis mengadakan serbuan di kediaman Stephen Paddock Mesquite, Nevada. Foto AP

LEBIH banyak senjata ditemui di kediaman seorang lelaki yang menembak mati 59 orang dan mencederakan 527 yang lain dalam satu kejadian tembakan di Las Vegas di Amerika Syarikat (AS) pada Ahad malam.

Stephen Paddock, 64, membawa sejumlah 23 senjata ke biliknya di Hotel Mandalay Bay yang menjadikan tempat dia melakukan serangan hendap terhadap Festival Route 91 Harvest.

Pasukan Khas Senjata dan Taktik (SWAT) melakukan serbuan ke atas dua aset milik jutawan itu di Mesquite dan Reno di Nevada, AS.

Dalam serbuan itu, penolong sheriff wilayah Clark, Todd Fasulo berkata, pihak berkuasa menemui 19 lagi senjata di kediamannya.

Kesemua senjata tersebut ditemui bersama bahan letupan dan ribuan peluru di kediaman Paddock di Mesquite.

Malah, polis turut menemui ammonium nitrat yang digunakan untuk membuat bom, disimpan di dalam kereta kepunyaan Paddock.

Polis percaya Paddock menyeludup senjata ke dalam hotel menggunakan lebih 10 beg pakaian.

Kesemua beg tersebut dipercayai dibawa masuk satu persatu ke dalam bilik hotel.

Paddock mendaftar masuk hotel berkenaan empat hari sebelum kejadian berlaku, menggunakan dokumen pengenalan teman wanitanya, Marilou Danley.

Bagaimanapun, polis menolak Danley, 62, terlibat dengan serangan itu berikutan dia berada di luar negara ketika kejadian berlaku. - Mail Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain