suria

58 Ditahan Di Sauna Gay

Polis Indonesia dikritik sejak penahanan dibuat terhadap 141 lelaki pada Mei lalu.

SERAMAI 58 orang termasuk warga asing ditahan dalam satu serbuan polis di sebuah sauna gay di Jakarta, Indonesia.

Jurucakap polis, Argo Yuwono berkata, serbuan di pusat bandar Jakarta pada Jumaat lalu menyaksikan tujuh lelaki termasuk pemilik sauna dan kakitangannya didakwa mengikut undang-undang pornografi Indonesia.

Mereka berhadapan dengan penalti dan boleh dipenjarakan sehingga sepuluh tahun atau denda.

Tambah Yuwono, 51 lagi lelaki akan dibebaskan sekiranya didapati tidak terlibat dengan jenayah atau dadah.

Di Indonesia, hanya wilayah Aceh sahaja yang mengharamkan perlakuan homoseksual.

Bagaimanapun komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) menjadi pemantauan di negara itu sejak kebelakangan ini.

Polis menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat aktiviti aktiviti gay selepas mahkamah membuat tuntutan untuk menjadikan homoseksual sebagai satu kesalahan jenayah di negara itu.

Beberapa kumpulan perundangan bagaimanapun mengutuk serbuan dan penahanan tersebut sebagaimana serbuan yang dilakukan ke atas 141 lelaki pada Mei lalu.

Gabungan kumpulan tersebut berkata, pihak polis mencabuli hak tahanan apabila mereka dirakam dalam keadaan bogel menyebabkan foto-foto tersebut tersebar di media sosial.

Dalam pada itu, Yuwono menafikan tuduhan itu dan memberitahu tahanan dilayan dengan baik.

"Mereka keluar dengan pakaian yang elok dan wajah mereka juga ditutup," ujarnya.

Katanya, polis masih lagi menyiasat untuk mengenal pasti semua lelaki berkenaan dan menyoal siasat saksi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengarahkan pihak berkuasa Indonesia untuk membebaskan mereka yang ditahan kerana orientasi seksual mereka dan meminta supaya stigma anti-gay dihapuskan di negara itu. - AP

Artikel Sebelum

Ha… Kan Dah Kena Sembur!

Artikel Berikut

Hidang Lipas Dalam Cawan Kopi?

Artikel Lain