SEORANG gadis maut ketika cuba merakam gambar terbaik di tebing Seven Sisters yang berketinggian 200 kaki. Hyewon Kim, 23, meminta pengunjung lain merakam gambar sambil melompat di tebing itu sebelum terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian. Punca kematian Kim dari Korea Selatan pada 22 Jun lalu itu didedahkan ketika pendengaran inkues kes berkenaan. Mangsa dilapor berada di United Kingdom untuk mempelajari Bahasa Inggeris. Sarjan Detektif Polis Sussex Tod Stewart berkata, terdapat enam gambar yang membuktikan dia berada di tebing. "Ia juga menunjukkan dia melompat di tebing itu sebelum terjatuh dan terbunuh. "Daripada wajahnya kami dapati tiada tekanan atau sesuatu yang boleh disyaki sebaliknya kelihatan gembira untuk bergambar," hujahnya dalam inkues tersebut.