WINSTON-SALEM: Golongan transgender akan dibenarkan untuk menggunakan tandas awam di North Carolina yang menyamai identiti gender mereka mengikut persetujuan penyelesaian yang difailkan bagi menangani saman berkaitan isu berkenaan. Dekri yang dicadangkan Gabenor Roy Cooper, Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika dan golongan trangendera yang menyaman negeri berkenaan akan menarik balik beberapa perundangan yang memberi kesan terhadap golongan itu. Hakim yang mengendalikan kes berkenaan perlu menandatangani kertas cadangan itu sebelum ia berkuatkuasa. North Carolina berdepan dengan isu melibatkan penggunaan tanda awam dalam kalangan transgender sejak ia dijadikan undang-undang tahun lalu di mana penggunaan kemudahan itu perlu mengikut jantina tertera pada sijil lahir setiap individu. Pelaksanaan undang-undang ini dianggap sebagai diskriminasi dalam kalangan transgender. Sehubungan itu, menerusi dekri berkenaan, golongan transgender tidak akan dihalang menggunakan kemudahan awam berkenaan. "Kami tidak berhasrat untuk meneruskan perbicaraan berhubung isu ini di mahkamah," kata Cooper dalam kenyataan yang dikeluarkan. Pada Rabu, Cooper juga menandatangani perintah eksekutif untuk menghalang agensi negeri dan pihak yang mempunyai kontrak dengan kerajaan negeri daripada mendiskriminasi identiti gender atau ekspresi.