suria

Selepas Setahun Berkabung, Pembakaran Mayat Diraja Bermula

BANGKOK: Selepas setahun melalui tempoh berkabung, rakyat Thailand akhirnya akan mengucapkan selamat tinggal kepada raja kesayangan mereka mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, 89, dalam acara persemadian yang mencipta sejarah buat negara Gajah Putih ini.

Kemangkatan Raja Bhumibol yang digelar ‘Raja Rakyat' pada 13 Oktober tahun lalu selepas tujuh dekad menaki takhta, menyebabkan rakyat Thailand berada dalam kesedihan.

Setelah perancangan berbulan-bulan dilakukan dengan memakan pembiayaan kira-kira 3 Bilion Baht (kira-kira RM370 juta), Upacara Persemadian Diraja akan bermula petang ini dengan mayat akan dibawa daripada Istana Agung ke kawasan upacara persemadian Sanam Luang pagi esok.

Upacara sebenar akan mengambil tempat esok malam di kawasan Pembakaran Diraja atau Phra Meru Mas di Sanam Luang.

Upacara Pembakaran Diraja akan berlangsung selama lima hari sehingga Ahad dengan hari Khamis akan berlaku pembakaran sebenar mayat.

Keselamatan akan diperketat susulan lebih daripada 40 pemimpin dan anggota keluarga diraja asing mengesahkan kehadiran di Upacara Pembakaran Diraja dengan Malaysia bakal  diwakili Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Lebih daripada suku juta rakyat Thailand dijangka membanjiri jalan berdekatan Istana Agung dan Sanam Luang bagi menghadiri upacara pembakaran yang diisytihar sebagai hari cuti umum di Thailand.

"Sejak Raja Bhumibol meninggal saya cuba berbuat baik yang ditujukan untuk baginda seperti berhenti minum alkohol selama 100 hari kematian baginda,” kata Ananya Moonpen, 35, seorang pekerja swasta kepada Bernama.

Dia beratur panjang di tengah terik matahari untuk memberi penghormatan terakhir sambil berharap falsafah dan inisiatif baginda selama ini dikenang dan diamalkan rakyat.

Penulis bebas Apiradee Treerutkuarkul, 37, berkata falsafah ekonomi baginda yang menggalakkan rakyat untuk hidup secukupnya akan menjadi panduan buat rakyat walaupun selepas kemangkatan baginda. -- Bernama

Thailand, Raja Bhumibol

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain